Saturday, September 4, 2010

Soal Jawab Sepanjang Ramadhan

Hukum Hakam di Bulan Puasa Ramadhan

1.Batalkah puasa kalau tertelan air liur dengan banyak?

Air liur yang berada dalam mulut dan tidak dikeluarkan tidak mengapa ditelan walaupun sengaja. Bahkan makruh kalau terlalu banyak meludah.

2.Batalkah puasa kalau makan dan minum dalam keadaan terlupa sehingga berulang-ulang kali?

Nabi pernah bersabda yang maksudnya; “ Barangsiapa yang terlupa, sedangkan dia berpuasa, kemudian dia makan dan minum, hendaklah dia sempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum.”(Riwayat Jama’ah).

Maknanya kalau beulang kali seperti lupa di pagi hari, kemudian sarapan. Di tengahari pun lupa pula, lalu makan. Pada petangnya lupa pula lalu makan lagi, hukumnya tetap tidak batal puasa itu.

Kuncinya ialah sengaja atau tidak. Kalau sengaja makan walaupun sebiji nasi sekalipun tetap batal hukumnya. Kalau seperiuk nasi sedangkan terlupa tetap tidak batal.

3.Kalau dipaksa bagaimana?

Kalau ditaqdirkan ada orang yang memaksa kita makan atau minum, maka hukumnya sama dengan terlupa kerana tidak disengajakan. Nabi ada bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak mengira daripada umat aku dalam perkara yang dilakukan kerana tersilap, terlupa dan yang dipaksakan ke atasnya.”(riwayat Ibnu Majah, at Tabrani dan al Hakim).

4.Kalau haidh atau nifas keluar ketika saat terakhir sebelum tenggelam matahari(maghrib), batal jugakah puasanya?

Batal juga…..nasiblah. Tapi pahalanya tetap dikurniakan oleh Allah. Kan bagus tu. Nanti kalau ganti puasa, dapat lagi pahala qadha’ puasa.

5.Kalau seseorang yang masih belum ganti puasa, kemudian dia mati, bagaimana ye?

Ulama’ berselisih pendapat. Jumhur Ulama’, daripadanya Abu Hanifah, Malik, dan pendapat masyhur daripada Mazhab Syafi’e mengatakan tidak wajib walinya mengqadha’ puasa si mati. Tetapi wajib kata Mazhab Hanafi diberikan makan kepada orang miskin satu mud(cupak)bagi setiap hari yang ditinggalkan. Adapun pendapat yang terpilih dalam mazhab Syafi’e mengatakan Sunat bagi walinya berpuasa, tidak perlu lagi memberi makan orang miskin.

6. ‘Melombong bijih’(Korek hidung)Batal kah puasa?

Dulu-dulu ramai ustaz yang ajar bahawa korek hidung termasuk dalam memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan, maka hukumnya batal puasa. Tapi yang sebenarnya tidak batal puasa sekiranya kita korek hidung sekadar dengan jari kita yang lima ini. Maknanya boleh korek hidung sekiranya ada hajat seperti garu gatal dan sebagainya dengan syarat tidak sampai ke batin hidung. Batin hidung ialah bermula daripada tempat yang keras di atas hidung. Zahir lubang hidung yang kita nampak bila tengok pada cermin, maka itu tempat yang harus korek. Tapi perlu diingat bahawa kalau korek tanpa sebab, maka hukumnya makruh.

7.Telinga macam mana pula?

Telinga pun begitu juga hukumnya. Ada zahir dan batin. Kebiasaan jari kita takkan sampai ke batin telinga. Maka korek telinga dengan jari adalah harus. Melainkan jari kita halus macam lidi basikal. Apabila dikorek, terkena gegendang telinga. Macam tu barulah batal puasa.

8.Gosok gigi tengahari boleh ke?

Ulama’ sepakat bahawa gosok gigi atau bersugi atau berkumur sekalipun tidak membatalkan puasa. Adapun Imam Syafi’e memakruhkan bersugi selepas gelincir matahari(tengahari la tu). Bahkan ramai ulama’ menyatakan sunat bersugi setiap kali mahu mendirikan solat fardhu walaupun bulan puasa.

9.Laki cium bini, bini cium laki-batal ke?

Pernah berlaku di zaman Rasulullah bahawa Umar al Khattab pernah datang mengadu kepada Rasulullah bahawa beliau telah melakukan kesilapan besar. Apabila ditanya oleh Nabi, beliau pun menjawab bahawa beliau mencium isterinya di siang hari bulan puasa. Jawab Nabi, ‘Adakah puasa kamu batal kerana berkumur?” Jawab Umar, “Tidak”, Jawab Nabi lagi, “Samalah dengan kamu cium isteri kamu.”

10.Orang sakit kena suntikan di bulan puasa, batal kah?

Tidak batal kerana ia bukan rongga badan tetapi dengan syarat yang disuntik bukan ‘makanan’ atau ‘minuman’ gantian kepada pesakit. Batal puasa sekiranya yang dimasukkan dalam badan merupakan makanan gantian kepada pesakit berat yang tidak mampu makan minum dengan saluran biasa. Biasanya suntikan itu mengandungi glukosa. Kalau begitu keadaannya, maka ia termasuk dalam golongan yang diharuskan berbuka puasa.

11.Orang lelah guna inhaler?

Setengah Ulama’ muta’akhirin yang ada sekarang mengatakan bahawa penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa alasannya, ia bukan makanan atau minuman.

WALLAHU A’LAM.

Sumber : Email warga omaQ.org

No comments:

Post a Comment